Belog Cikgu Rohiexa

Belog Cikgu Rohiexa
Kenangan Kita Umpama Buah Strawberi...

Saturday, October 25, 2008

Tiramisu





TIRAMISU dalam bahasa Itali bermaksud 'gembirakanlah hatiku'. Jadi, pastilah bila anda menyediakannya, anda akan menggembirakan hati seseorang dengan kesedapannya yang tidak terkata. Tiramisu yang asal mempunyai campuran brandy, rum atau liqueur namun, telah diubahsuai untuk orang Islam.

Juadah pencuci mulut yang berasal dari Itali ini sangat popular terutama di restoran dan kafe. Ada pelbagai versi tiramisu dan keenakannya tentulah berbeza-beza pula. Jadi, setelah mencuba beraneka cara, mungkin anda boleh memilih kaedah yang digemari. Atau cara yang lebih mudah dan ringkas, sesuai dengan cara hidup anda yang mungkin teramat sibuk.

Kebanyakan tiramisu diperbuat daripada telur. Caranya ialah memutar kuning telur dengan gula dan esen kopi kemudian mencampurkan dengan putih telur yang dipukul kental. Penggunaan telur yang tidak dimasak adalah tidak baik terutama untuk kanak-kanak, warga emas atau ibu-ibu mengandung. Golongan ini mudah terkena jangkitan bakteria dalam telur yang dikenali sebagai salmonella.

Bahan utama dalam pembuatan tiramisu ialah keju mascarpone. Ia adalah keju lembut dan merupakan krim keju yang segar. Oleh kerana ia sukar didapati kecuali di kedai-kedai menjual barangan import atau di pasar raya besar, anda boleh menggantikan dengan krim keju dan susu segar.

Untuk setiap 450 gm krim keju, campurkan tiga camca besar atau 45 ml susu. Setelah dipukul hingga gebu, teksturnya akan menjadi seperti keju mascarpone.

Bagi anda yang sukakan pencuci mulut yang agak manis, bolehlah menambah sukatan gula aising. Selain gula aising, boleh juga gunakan guna kastor. Namun begitu, perlu diingat bahawa sesetengah krim putar yang dibeli di pasar raya atau kedai barangan bakeri mempunyai gula di dalamnya. Jadi, ada baiknya anda rasa terlebih dulu sebelum mencampurkan gula.

Untuk menambah perisa kopi, masukkan sedikit coffee emulco atau esen kopi ke dalam air kopi. Selalunya, air kopi ini diperbuat daripada campuran air suam dan serbuk kopi segera.

Sebagai panduan asas, untuk 125 ml air, gunakan satu camca teh serbuk kopi segera. Sekiranya anda sukakan perisa kopi yang lebih kental, tambah serbuk kopi itu.

Biskut span atau boudoir bisuits berbentuk jejari dengan sebelah ditaburi gula. Jika anda sukar mendapatkannya, gantikan dengan potongan kek span. Pilih kek span yang lembut supaya tiramisu menjadi lebih sedap. Potong bentuk jejari agar lebih mudah disusun di dalam bekas atau mangkuk.

Anda boleh juga menggunakan reja-reja kek span yang tidak habis dimakan. Susun kek terlebih dulu di dalam mangkuk. Kemudian baru direnjiskan dengan air kopi. Cara membuatnya berbeza dengan menggunakan biskut yang perlu dicelup ke dalam air kopi tersebut.

Tiramisu lebih enak jika dibiarkan semalaman sebelum dimakan. Ini akan memastikan semua bahan meresap ke dalam biskut span dan menjadikannya amat lembut dan mesra. Selalunya, tiramisu disudukan ke dalam piring dan dimakan begitu saja kerana ia sukar untuk dipotong. Jadi, pastikan anda menyediakan piring dan sudu yang sesuai untuk hidangan pencuci mulut.

Lebih sesuai menyediakan tiramisu di dalam mangkuk jernih atau lutsinar. Ini adalah supaya mudah untuk melihat lapisan-lapisan krim, biskut dan koko. Untuk lebih enak, anda boleh campurkan sedikit parutan coklat masakan di dalam campuran krim keju. Jadi, anda akan dapat merasa cebisan coklat tersebut di seluruh tiramisu, tidak hanya di bahagian atas.

Bila hendak membawa tiramisu ke rumah teman atau ke tempat perkelahan, bungkus kemas dengan foil atau kertas aluminium. Pastikan bahagian dalamnya ditutup terlebih dulu dengan plastik nipis. Ini akan memastikan suhu tiramisu sentiasa sejuk dan lebih sedap rasanya.

Elakkan daripada menghias potongan buah-buahan di atas permukaan kerana ini boleh membuat tiramisu berair. Namun begitu, anda boleh memicit baki krim putar di sekeliling bahagian atas dan letak potongan strawberi di atas krim itu. Semuanya terpulang pada kreativiti masing-masing.

Jadi, gembirakanlah seseorang pada hari ini dengan menyediakan tiramisu. Meskipun cara membuatnya nampak agak rumit, anda akan dapati ia amat mudah diikuti. Dan tentunya pengalaman menjamah tiramisu buatan sendiri adalah lebih menyeronokkan dan meninggalkan kenangan manis pada keluarga atau tetamu anda!

No comments: