Belog Cikgu Rohiexa

Belog Cikgu Rohiexa
Kenangan Kita Umpama Buah Strawberi...

Tuesday, October 7, 2008

Hari Guru dua kali disokong

HARI Guru di Malaysia yang disambut pada 16 Mei sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka yang bergelar pendidik. Ada cadangan supaya perayaan itu disambut dua kali setahun dan Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM) menyambut baik cadangan itu.

Perbincangan yang masih dijalankan persatuan dan majlis berkaitan guru di negara ini haruslah diteliti secara mendalam kerana sambutan ini bukanlah sambutan ulang tahun hari biasa, tetapi sambutan meraikan guru yang sangat berjasa kepada tanah air.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Hari Guru Sedunia pada 5 November setiap tahun dan ini adalah suatu langkah bijak. Sememangnya harus kita sedar bahawa hari guru di setiap negara seluruh dunia disambut pada tarikh berbeza seperti Albania pada 7 Mac, China pada 10 September, Czech Republik pada 28 Mac, Russia pada 5 Oktober, Taiwan 28 September, Thailand 16 Januari, Vietnam pada 20 November dan sebagainya.

Langkah PBB untuk meraikan hari guru sedunia adalah langkah bijak untuk menyatukan seluruh negara dalam menyambut hari guru ini. Hari Guru yang disambut adalah untuk menghargai jasa mereka membanting tulang dan keringat, pengorbanan dan keperitan mendidik.

Peranan guru dalam masyarakat dunia bukanlah satu peranan kecil bahkan guru inilah yang dapat mencipta gelombang keintelektualan anak bangsa supaya lebih berdaya saing dari semua sudut. Walaupun sememangnya hari guru ini adalah wajar disambut setiap hari, tetapi langkah meraikan pada tarikh dan waktu tertentu adalah penghargaan yang amat besar dalam kerjaya ini.

Sekali lagi PMAPIUM menyokong cadangan supaya sambutan hari guru disambut dua kali setahun, iaitu Sambutan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei dan Sambutan Hari Guru Sedunia pada 5 November. Ia langkah bijak agar mereka lebih berdaya saing dan bertungkus-lumus mendidik anak bangsa dalam proses pembentukan nilai insani dalam diri menerusi sistem pendidikan.


NOTA 3 KAKI : Best gak kalau buat hari guru dua kali..satu sambutan dalam negara. satu lagi antarabangsa...

No comments: